Friday, October 7, 2011

Budget 2012...Syukur alhamdulillah...

1. Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma.

2. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja.

3. Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

4. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

5. Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar;

6.. Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada 3,000 ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.

7. Pada masa ini, barah pangkal rahim (kanser servik) merupakan barah kedua tertinggi di kalangan wanita Malaysia. Kemajuan dalam sains perubatan telah membolehkan penyakit ini boleh dicegah melalui suntikan imunisasi. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan suntikan imunisasi secara percuma kepada murid perempuan tingkatan satu di semua sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan antarabangsa mulai bulan April hingga Mei 2010.

8. Bagi membolehkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan imunisasi, Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perancang Keluarga Negara di seluruh negara.

9. Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:

Pertama: Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Kedua: Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional;

10. Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi penjawat awam dan bantuan seribu ringgit bagi pesara Kerajaan.

No comments:

Post a Comment